Langkau ke kandungan utama

Perutusan KPE IIM

Perutusan KPE IIM

Bismillahirrahmanirrahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Integriti dan Salam Keluarga Malaysia.

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya, Pelancaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah Tahun 2022 (ataupun  singkatannya AIGA 2022) telahpun disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri DatoSeri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM).

Penganjuran AIGA 2022 dilaksanakan susulan daripada kejayaan penganjuran projek rintis AIGA 2020 peringkat negeri Pahang. Ketua Setiausaha Negara sewaktu menyempurnakan AIGA 2020 telah menyuarakan hasrat untuk mengangkat anugerah ini ke peringkat Kebangsaan. Penganjuran di peringkat Kebangsaan ini secara langsung akan membantu negara memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan menjadikan kedudukan Malaysia lebih baik dari tahun-tahun terdahulu. AIGA 2022 ini juga sudah pasti bakal menjadi penyumbang kepada keberhasilan objektif dalam Pelan AntiRasuah Nasional (NACP).

 

AIGA 2022 akan turut diperluaskan ke negeri-negeri seperti Sarawak, Perak, Johor dan Melaka serta akan diadakan juga  diperingkat kebangsaan. Majlis Anugerah AIGA bakal diadakan pada bulan November 2022 bersempena sambutan Hari Integriti Nasionalpada 5 November depan.

 

 

 

IIM kini sedang melaksanakan pelbagai transformasi dan penambahbaikan dalam usaha untuk memperkasakan lagi peranannya sebagai peneraju utama integriti negara dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) adalah salah satu inisiatif yang diperkenalkan. AIGA merupakan satu anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti dan tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi mereka. Anugerah ini juga dilihat mampu meningkatkan persaingan sihat dalam kalangan sektor awam dan swasta dalam usaha pembudayaan dan pengamalan integriti.

Akhir kata, saya berharap agar AIGA dapat dilaksanakan pada setiap tahun dan penyertaan daripada sektor awam dan swasta akan bertambah pada setiap tahun. Saya yakin dan percaya sekiranya AIGA disambut baik oleh semua sektor dalam negara, Malaysia akan dapat meningkatkan tahap integriti dalam negara dan Malaysia akan terkenal dengan integriti dan bukannya rasuah.

 

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

YBHG. DATUK WAN SURAYA BINTI WAN MOHD RADZI

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Hak Cipta Terpelihara © 2022, Institut Integriti Malaysia