Langkau ke kandungan utama

Latar Belakang

Latar Belakang

LATAR BELAKANG AIGA

Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) merupakan satu anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti dan tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi mereka.

AIGA juga merupakan salah satu mekanisme penanda aras (benchmark) bagi organisasi awam mahupun swasta dalam membudayakan integriti, tadbir urus terbaik dan antirasuah terutamanya dalam  organisasi mereka. Selain itu ianya juga merupakan ruang mencungkil keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor swasta dan awam dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti  dan pencegahan rasuah.

AIGA buat pertama kalinya telah diadakan pada tahun 2020. Pada tahun tersebut Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan AIGA dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) dan diadakan di peringkat negeri Pahang sahaja. Penganjuran AIGA di peringkat negeri Pahang telah meraih penyertaan sebanyak empat puluh satu (41) organisasi kerajaan dan swasta di seluruh negeri Pahang.

Penganjuran AIGA 2022 dilaksanakan susulan daripada kejayaan penganjuran projek rintis AIGA 2020 peringkat negeri Pahang. Ketua Setiausaha Negara sewaktu menyempurnakan AIGA 2020 telah menyuarakan hasrat untuk mengangkat anugerah ini ke peringkat Kebangsaan.

 

Penilaian AIGA 2022 terbahagi kepada dua (2) peringkat iaitu:


I.    Penilaian Dokumen dan Lapangan (Atas Talian)
II.    Penilaian Panel Khas (Anugerah Platinum)


Setiap agensi yang menghantar penyertaan bagi AIGA 2022, mereka telah melakukan  Penilaian Kendiri sebagai penilaian minimum untuk dipenuhi bagi menentukan kelayakan mereka ke proses penilaian seterusnya.

Sesi penilaian dokumen dan lapangan bagi AIGA 2022 telah diadakan pada 25 Julai 2022 sehingga 22 September 2022 yang melibatkan sebanyak seratus lima belas (115) buah agensi yang telah dinilai. 

Seterusnya  agensi yang mendapat markah tertinggi telah disenarai pendek dan layak ke penilaian panel khas. Penilaian panel khas ini merupakan peringkat penilaian tertinggi untuk menilai dan menentukan organisasi yang layak menerima anugerah tertinggi AIGA iaitu Anugerah kategori Platinum. Lima (5) penerima Anugerah Emas utama yang mendapat markah tertinggi telah dipilih untuk bersaing dalam kategori Platinum ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS), Johor Port Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Northport Bhd. Penilaian untuk kategori Platinum ini dilaksanakan oleh Panel Penilai Khas yang terdiri daripada YBhg. Tan Sri Abu Kassim Bin Mohamed, YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Bin Omar, dan YBhg. Professor Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir.

Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022, telah diadakan pada 18 Januari 2023 dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadilah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri mewakili YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sebanyak 92 organisasi terpilih untuk menerima Anugerah AIGA 2022 yang merangkumi 16 Anugerah Emas, 34 Anugerah Perak dan 42 Anugerah Gangsa. BERNAS telah dipilih dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Platinum AIGA pada tahun ini.

Penganjuran AIGA adalah selaras dengan pemantapan peranan IIM yang kini berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek Pendidikan, Advokasi dan Latihan, Penyelidikan dan Penerbitan serta Kerjasama Strategik. IIM juga diberikan peranan untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti dan tata kelola sektor awam dan swasta melalui produk konsultansi, latihan serta penilaian integriti.

Tahniah! Kepada semua peserta AIGA 2022, semoga usaha pembudayaan integriti dan tata kelola baik ini akan dapat melahirkan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.
 

Hak Cipta Terpelihara © 2023, Institut Integriti Malaysia