Langkau ke kandungan utama

Perutusan Pengerusi IIM

Perutusan Pengerusi IIM

Bismillahirrahmanirrahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Integriti dan Salam Keluarga Malaysia.

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya, pada tahun ini  Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah tahun 2022 atau singkatannya AIGA 2022 akan membuka tirainya di peringkat Kebangsaan. Malah ianya juga akan diperkembangkan ke negeri-negeri lain seperti Pahang, Sarawak, Johor, Melaka dan Perak.

 

AIGA merupakan salah satu daripada pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Institut Integriti Malaysia(IIM) dalam usaha memperkasakan peranannya sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan nilai-nilai integriti dan tadbir urus bagi rakyat Malaysia. Anugerah ini juga akan dapat menjadi mekanisme penanda aras (benchmark) terbaik bagi organisasi awam mahupun swasta dalam membudayakan integriti, tadbir urus terbaik dan antirasuah terutamanya dalam organisasi masing-masing yang boleh dijadikan contoh teladan kepada organisasi-organisasi lain. Ianya adalah selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) supaya “Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukannya rasuah”.

 

Usaha ini merupakan susulan mandat baharu yang telah diberi kepada IIM untuk memantapkan kualiti dan prestasi tadbir urus sektor awam dan swasta di Malaysia. Proses penilaian kriteria AIGA 2022 akan mengguna pakai standard pematuhan piawaian antarabangsa yang terkini. Malah proses penilaian akan dibuat dengan teliti oleh para penilai (assessor) yang berpengalaman. Di peringat kebangsaan ini, Penilai Khas juga dilantik untuk membuat penilaian akhir.

 

Saya amat berharap dengan pelancaran AIGA 2022 pada tahun ini akan berjaya menyuntik semangat dan komitmen berterusan terutamanya kepada semua organisasi untuk mempertingkatkan sistem pengurusan kawalan dalaman dan tadbir urus masing-masing.  

 

 

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

YBHG. TAN SRI DATO’ SERI MOHD ZUKI ALI

KETUA SETIAUSAHA NEGARA

MERANGKAP

PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (IIM)

Hak Cipta Terpelihara © 2023, Institut Integriti Malaysia